MELAKA: Pilihan raya negeri (PRN) tetap berjalan pada 20 November ini, meskipun Pakatan Harapan (PH) meneruskan usaha membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 ke mahkamah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Warta Pembubaran DUN Ke-14 diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pernyataan mengenainya dilakukan pada 5 Oktober lalu.
Beliau menjelaskan, PH selaku pihak yang tidak berpuas hati mempunyai hak untuk memfailkan kes berkenaan, namun PRN Melaka tetap berlangsung seperti diumumkan SPR.
“Semasa hari pernyataan pembubaran Dewan, warta itu diserahkan kepada SPR. Jadi yang dipersoalkan sebenarnya mereka tidak meneliti kaedah pembubaran DUN.
“Terserahlah kepada mana-mana parti yang tidak berpuas hati untuk memohon keabsahan di peringkat mahkamah untuk diadili. PRN tetap berjalan,” katanya dalam sidang akhbar di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.
Terdahulu, SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaimam Md. Ali.
Sebentar tadi, PH Melaka mengumumkan, tetap meneruskan usaha membawa isu pembubaran DUN Melaka Ke-14 ke mahkamah minggu ini, meskipun SPR menetapkan tarikh PRN pada 20 November.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, langkah tersebut diteruskan bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran DUN dapat dilakukan.
Menurut beliau, kelewatan memfailkan kes berkenaan disebabkan kegagalan pihak pengurusan DUN mengeluarkan atau menyerahkan notis pembubaran secara rasmi kepada semua ADUN sehingga kini. – UTUSAN ONLINE










