PORT DICKSON: Baki tiga orang lagi penunggang motosikal yang dipercayai antara tujuh individu yang sebelum ini menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial, baru-baru ini telah ditahan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-tiga mereka termasuk seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun ditangkap selepas mereka hadir di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini untuk menyerah diri pada pukul 4.20 petang tadi.
Jelas beliau, dua lagi yang ditahan masing-masing berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pencuci kereta dan pengimpal.
“Ketiga-tiga mereka ditahan di Balai Trafik IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut, dengan tangkapan keseluruhan seramai tujuh lelaki, pihak polis telah menyelesaikan kes yang berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.
Semalam, empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah ditahan polis pada pukul 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng, Melaka selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Keempat-empat suspek itu ditahan selama tiga hari bermula semalam di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya dan ika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000-RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial pada Ahad lalu.
Video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain. – UTUSAN