ASEAN-Rusia wajar perluas kerjasama dalam pelbagai bidang - PM - Utusan Malaysia

ASEAN-Rusia wajar perluas kerjasama dalam pelbagai bidang – PM

VLADIMIR Putin (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia Keempat secara maya hari ini. - Ihsan media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia optimis hubungan ASEAN-Rusia yang sudah memasuki tiga dekad boleh dikembangkan lagi lebih luas dengan meliputi kerjasama dalam pelbagai bidang besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, potensi besar malah mampu diraih terutama memperkukuhkan usaha sama pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua dua pihak itu.

“Majlis Perniagaan ASEAN-Rusia juga perlu memainkan peranan lebih proaktif khususnya meneroka peluang transformasi ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi maju,” katanya.

Beliau berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia Keempat yang dipengerusikan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei dan dihadiri Presiden Rusia, Vladimir Putin secara maya hari ini.

Negara terbesar di dunia itu mula menjalin hubungan apabila menyertai Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia pada 1991 ketika Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Ke-24 di Kuala Lumpur.

Jalinan itu dipertingkatkan melalui Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia Pertama pada 2005 juga di Kuala Lumpur sehinggalah menyaksikan pelantikan Duta Rusia ke ASEAN pada 2017 lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kedua-dua pihak perlu bergerak lebih pantas ke depan sejajar pemulihan global pasca pandemik Covid-19 ketika ini yang membuka banyak peluang.

“Pengukuhan kerjasama ekonomi bahkan mampu memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana ketika ini sudah menjadi seperti tulang belakang iktisad ASEAN,” jelasnya.

Justeru, Malaysia ujarnya yang memiliki kekuatan dalam sektor pengeluaran, bersedia untuk menyumbang ke arah meneguhkan bidang tersebut yang kini berteraskan teknologi pintar.

Pada masa sama, beliau mengingatkan persidangan itu bahawa impak wabak Covid-19 telah membawa dunia menilai semula sistem dan institusi menuju tahap daya saing yang lebih baik.

Ini terutamanya sektor kesihatan dan ekonomi yang rentan namun perhatian seimbang juga wajar tidak dilupa kepada kebangkitan ancaman keganasan, jenayah pelampau dan siber.

Senario tidak dijangka itu kata Ismail Sabri, dilihat berkembang ketika kemuncak pandemik apabila ada cuba menyebarkan ideologi ekstrem selain aktiviti pencerobohan laman maya.

“ASEAN sebenarnya boleh memanfaatkan kepakaran tinggi Rusia yang amat disegani dalam teknologi digital sebagai inisiatif mengekang jenayah siber merentas sempadan,” tambahnya.

Malaysia juga ujarnya, tidak lupa merakamkan tahniah ke atas Rusia yang berjaya mencipta vaksin Sputnik V sekali gus menyumbang usaha global memerangi Covid-19 di seluruh dunia.

Kejayaan itu wajar dipelajari ASEAN termasuk menjalinkan kerjasama diagnostik dan rawatan wabak selain berkongsi teknologi genetik dan keselamatan biologi untuk jangka panjang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya