PARIT: Lebih 80,000 peniaga di negeri ini terpaksa menutup perniagaan mereka kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Kamarullaffie Ahmad berkata, mereka terdiri daripada usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana serta yang berpendapatan rendah.
Menurutnya, perniagaan mereka terjejas berikutan prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri semasa PKP.
“Kesan PKP amat ketara apabila ramai usahawan DPMM yang mengadu masalah dari segi pendapatan dan perbelanjaan untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Lebih 80,000 perniagaan ditutup terutamanya usahawan yang berniaga kecil-kecilan di tepi jalan, pasar malam dan sebagainya.
“Apabila operasi ditutup, gaji pekerja, sewa pejabat serta bayaran sewa lain perlu dibayar. Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan?,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program penyerahan sumbangan kotak makanan DPMM Perak di Pusat Khidmat Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Bota, Bota Kanan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang juga ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.
Kamarullaffie berkata, bagi membantu membantu peniaga yang terjejas, DPMM mengambil inisiatif turun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan.
Menurutnya, DPMM turut merasai keperitan akibat tiada pendapatan, kurang projek dan perniagaan merosot terutama yang melibatkan jika usahawan kecil, mikro dan sederhana.
“Justeru, DPMM menyifatkan kebenaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam akan mengembalikan semula pendapatan kepada peniaga di negeri ini.
“Apabila rentas negeri dibenarkan, ini dapat mengekalkan pekerja di sektor perniagaan dan tidak lagi berlaku pekerja diberhentikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE