PETALING JAYA: Anggota tentera yang diburu selepas mencabul seorang wanita dengan menjilat tangan mangsa di sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini kelmarin, ditahan hari ini.
Tangkapan suspek berusia 26 tahun itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, pukul 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam serbuan itu, pakaian seragam yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian dirampas.
“Siasatan awal mendapati suspek bertugas di tentera du Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tujuh tahun.
“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari sehingga 10 Oktober ini.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan dan semakan lanjut mendapati suspek telah berkahwin dan mempunyai seorang anak,” jelasnya.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh pekerja wanita sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, selepas menjadi mangsa cabul lelaki memakai pakaian seragam tentera, petang kelmarin.
Dalam kejadian pada 1 petang, mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape sebelum dia keluar selepas selesai melakukan urusan itu.
Suspek masuk semula ke dalam kedai dan memberitahu pod vape dibelinya tidak berfungsi.
Susulan itu, mangsa kemudian memeriksa pod itu dan menggantikan dengan yang baru namun ketika menyerahkan pod vape terbabit suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa serta turut menjilat tangan mangsa.
Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE










