Anggota Pasukan Gerakan Am sendiri jadi tukang angkut PATI

Anggota PGA sendiri jadi tukang angkut PATI

SHAFIEN Mamat (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan seorang anggota PGA berpangkat Koperal di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal kerana disyaki mengangkut enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand di tepi jalan di  Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, di sini semalam.

Suspek berusia 33 tahun ditahan kira-kira pukul 10 malam ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex bersama rakannya berusia 28 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut menahan MPV dinaiki suspek selepas melihat kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian penumpang MPV membawa kepada penemuan lima wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat hingga 48 tahun.

“Kesemua mereka warga Thailand, dengan sebahagian tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan selebihnya memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh. Mereka dipercayai masuk melalui pengkalan haram di Sungai Golok.

“Hasil siasatan awal mendapati anggota PGA itu mengambil mereka untuk dibawa bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Menurut Shafien, suspek merupakan anggota PGA yang bertugas di Ibu Pejabat PGA di Kuantan, Pahang dan pernah bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebelum ini.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek menyewa MPV berkenaan selama dua hari dengan kadar bayaran sebanyak RM450 sehari untuk melakukan kegiatan menyeludup PATI.

“Selain MPV, polis turut merampas kad kuasa polis, kad pengenalan milik rakan anggota PGA itu, lima pasport milik PATI, wang tunai RM1,276, wang mata wang Thailand dan tujuh telefon pintar,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama 28 hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang serta Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN