KULAI: Seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam perbuatan menyimbah cat merah dan meninggalkan nota ugutan di kediaman seorang peminjam hutang sindiket ah long.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek dicekup ketika melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Taman Manis Kelapa Sawit, di sini.
Kata beliau, bertindak atas maklumat dan laporan polis oleh mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 62 tahun, suspek ditahan di rumahnya pada pukul 7.30 malam.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengakui mengambil upah menyimbah cat di sekitar kawasan Kelapa Sawit dan Ulu Tiram.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas seunit telefon bimbit dan satu simkad bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada suspek berkenaan turut terlibat dalam kejadian lain di sekitar Kulai.
“Berdasarkan ujian air kencing yang dibuat, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai 12 rekod jenayah lampau.
“Suspek kini dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










