Aliran trafik di Negeri Sembilan meningkat lebih 28 peratus  - Utusan Malaysia

Aliran trafik di Negeri Sembilan meningkat lebih 28 peratus 

SHAFIEI Muhammad ketika menyertai Op Lancar di Port Dickson hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Aliran trafik di Negeri Sembilan meningkat lebih 28 peratus selepas kebenaran merentas negeri berkuat kuasa Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, empat hari sebelum kebenaran berkenaan dikuatkuasakan, sebanyak 361,140 buah kenderaan direkodkan di susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) di negeri ini.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah berkenaan bertambah sebanyak 28.9 peratus dalam penelitian selama empat hari selepas rentas negeri dibenarkan menjadikan jumlah kenderaan masuk ke negeri ini sebanyak 463,542 buah kenderaan.

“Hari ini kami lakukan pemantauan di tempat pelancongan (Port Dickson). Memang ramai masuk ke sini tetapi keadaan trafik masih terkawal. Kami akan terus memantau aliran di sini supaya sentiasa lancar serta tiada kenderaan yang diparkir di kiri kanan jalan sehingga menyebabkan trafik boleh sesak sejauh lima kilometer.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, kita akan mengambil tindakan undang-undang kepada kenderaan yang diparkir di kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita sempena Op Lancar Negeri Sembilan di Batu 4, Jalan Pantai di sini.

Tambahnya, dijangkakan trafik semakin bertambah di negeri ini sehingga lima peratus bermula hari ini hingga Ahad nanti berikutan ramai individu yang ingin pulang ke kampung halaman.

Menurutnya, di lokasi pelancongan seperti di Port Dickson, tidak berlaku pertambahan jumlah trafik mendadak berikutan Negeri Sembilan sudah lama beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan rentas daerah telah dibenarkan terlebih dahulu di negeri ini.

“Jadi masalah trafik memang tiada dan masih terkawal. Dalam waktu biasa terdapat 10 orang anggota akan memantau di beberapa lokasi di sini dan di waktu puncak sebanyak 15 anggota serta pegawai ditempatkan bagi mengawal lalu lintas.

“Kami harap agar pengguna jalan raya yang masuk ke negeri ini akan dapat mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN