PUTRAJAYA: Jika ada laporan polis, ia (dakwaan) akan disiasat.
Itu jelas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung pendedahan rasuah dan salah guna kuasa pegawai kanan kerajaan yang dibongkar pengguna Twitter dan Telegram yang menggunakan nama Edisi Siasat sejak beberapa minggu lalu.
Hamzah berkata, beliau mengakui baharu sahaja mendengar mengenai perkara itu hari ini.
“Saya baru dengar ni (perkara ini). Saya tak tahu pun perkara ini.
“Bagaimanapun, segala kesalahan membabitkan sesiapa sahaja, kalau ada laporan polis, ada siasatan dan kita akan beri kerjasama,” katanya pada sidang selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6, hari ini.
Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan yang dibongkar Edisi Siasat itu.
Menurutnya, setiap maklumat yang diuar-uarkan sama ada dari orang awam atau pihak polis perlu disiasat bagi tujuan verifikasi.
“PDRM perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular di media sosial itu benar atau sebaliknya sebelum mengambil tindakan susulan.
Sejak beberapa minggu lalu, Edisi Siasat mendedahkan pembabitan beberapa pegawai tertinggi PDRM yang terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Ia turut mendedahkan pembabitan pengarah pengurusan tertinggi sebuah agensi penguat kuasa yang didakwa melindungi sindiket dan terbabit rasuah. – UTUSAN