98 peratus guru taska, tabika Kemas telah divaksin 

98 peratus guru Kemas telah divaksin 

MOHAMAD Yasid Bidin (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan pada Majlis Penyerahan Kursus Quick Win Asnaf Berdikari di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan 12,619 guru taska dan tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah menerima suntikan vaksin Covid-19 ketika ini. 

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, baki guru yang belum divaksin itu disebabkan beberapa faktor termasuk penangguhan akibat masalah kesihatan seperti alahan ketika mengandung dan sebagainya dengan nasihat doktor. 

“Dari segi pengoperasian semula pula, tabika-tabika Kemas ini tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM). Bagi taska pula mungkin ada juga yang dibenarkan beroperasi sebelum ini. Tapi itu pun berdasarkan permohonan serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Peralatan Kursus Quick Win Asnaf Berdikari daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Paya Keladi, di sini hari ini. 

Ketika ini, terdapat 206,094 murid tabika Kemas yang membabitkan 10,301 kelas di seluruh negara manakala jumlah murid taska pula adalah seramai 9,369 orang di keseluruhan 554 kelas. 

Mengulas mengenai Kursus Quick Win Asnaf Berdikari, Mohamad Yasid berkata, program tersebut baru dimulakan tahun ini dengan sasaran untuk menyalurkan bantuan kepada 10 orang peserta untuk setiap negeri. 

Katanya, di bawah program itu Kemas akan memilih asnaf yang tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan sebelum bantuan berkaitan disalurkan kepada mereka. 

“Kita akan berusaha membantu mereka dengan memberi pendidikan, tunjuk ajar dan kemahiran serta bantuan peralatan niaga sehingga mereka akhirnya mampu memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Kerjasama ini dijalankan bersama setiap lembaga zakat negeri kerana mereka mempunyai data yang lengkap berkaitan golongan ini,” katanya. 

Tambah Mohamad Yasid, secara keseluruhannya Kemas telah memperuntukkan sehingga RM290,000 untuk melaksanakan program berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN