5.8 juta bakal pemilih 18 tahun ke atas diminta semak maklumat sebelum 31 Oktober - Utusan Malaysia

5.8 juta bakal pemilih 18 tahun ke atas diminta semak maklumat sebelum 31 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 5.8 juta pengundi berumur 18 tahun dan ke atas akan didaftarkan secara automatik berdasarkan maklumat terkini daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas tempoh semakan dan pengesahan melalui Semakan Pra Pendaftaran  Pemilih Automatik atau (SPPA) ditutup sehingga 31 Oktober.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, bakal pemilih akan didaftarkan mengikut alamat di MyKad sehingga tarikh itu termasuk permohonan pertukaran bahagian pilihan raya  hanya boleh dibuat di mana-mana pejabat pilihan raya negeri (PPN), pejabat pos atau melalui MySPR Daftar di  https://mysprdaftar.spr.gov.my selepas tarikh pendaftaran pemilih  secara automatik dikuatkuasakan.

Justeru, katanya, semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun (hingga 31 Disember 2021) dan ke atas yang belum berdaftar sebagai pemilih diminta menyemak sepanjang tempoh itu yang dibuka sejak 1 Oktober lalu.

“Melalui sistem itu, mereka boleh menyemak dan mengesahkan maklumat peribadi;  alamat dan kawasan pendaftaran yang ditetapkan; membuat aduan kesilapan maklumat peribadi; membuat aduan kesilapan alamat dan kawasan pendaftaran dan membuat aduan-aduan lain yang berkaitan.

“Ini termasuk menyemak dan mengesahkan mengenai nama; Nombor Kad Pengenalan; Tarikh Lahir; Jantina; Alamat (termasuk poskod, bandar dan negeri);  Kawasan Pendaftaran (termasuk negeri, parlimen, DUN, daerah  mengundi dan lokaliti),” katanya seperti dipetik menerusi soalan lazim (FAQ) SPPA yang dikeluarkan SPR.

SPR berkata, alamat yang dipaparkan di SPPA merupakan alamat terkini dalam  Mykad, justeru sekiranya bakal pemilih tidak tinggal di alamat tersebut,  bakal pemilih digalakkan mengemas kini alamat MyKad di JPN selewat-lewatnya pada 31 Oktober ini. 

Sekiranya ada kesilapan maklumat dalam sistem itu, individu berkenaan boleh membuat aduan berkaitan dalam ruang  aduan yang disediakan atau menghubungi Hotline SPR atau PPN terdekat untuk bantuan atau maklumat lanjut.   

Jelasnya, sekiranya berlaku masalah tiada rekod dijumpai ketika semakan, bakal pemilih perlu menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018  atau menghubungi PPN untuk bantuan dan maklumat lanjut dalam waktu pejabat.

Menurut SPR, semakan melalui SPPA ini boleh dibuat bagi mereka yang belum berdaftar sebagai pemilih dan boleh dilakukan  tanpa had dalam tempoh semakan ditetapkan, tetapi hanya  maklumat pengesahan terakhir yang dipaparkan dalam sistem. 

“Pemilih yang sudah berdaftar sebagai pemilih sebelum ini boleh membuat semakan  menggunakan MySPR Semak di https://pengundi.spr.gov.my atau  aplikasi MySPR Semak yang boleh dimuat turun di Google Play atau  Apple Store,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya