443 lokasi pembuangan sampah haram di Negeri Sembilan dibasmi sejak 2014 - Utusan Malaysia

443 lokasi pembuangan sampah haram di Negeri Sembilan dibasmi sejak 2014

ANGGOTA penguat kuasa SWCorp Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi pembuangan sampah secara haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 443 pembasmian lokasi pembuangan sampah haram telah dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan sejak 2014 sehingga September tahun ini.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, sehingga tahun ini juga, sebanyak 117 kawasan tompok panas (hot spot) pembuangan sampah haram yang masih aktif dikesan namun ia sentiasa dipantau rapi pihaknya.

“Hasil pemantauan, intipan dan operasi berterusan anggota penguat kuasa SWCorp Negeri Sembilan, kawasan tersebut dapat dikawal dengan baik. Kebanyakan hot spot berkenaan telah ditutup dan mengurangkan kegiatan pembuangan sampah.

“Tindakan yang diambil adalah melakukan pembersihan kemudian lokasi disita dengan pemasangan pita halangan dan kain rentang larangan pembuangan sampah secara haram.

“Selain pemantauan berkala dan berjadual, SWCorp juga akan mengambil tindakan ke atas sebarang aduan berkaitan kegiatan pembuangan sampah haram. Operasi intipan dan serbuan akan diatur dengan teliti bagi mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah haram,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia sebelum ini berkenaan pendirian tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) antara punca tapak pelupusan haram terus wujud sehingga menyebabkan kes pencemaran alam sekitar semakin berleluasa.

Keengganan negeri tersebut iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak menandatangani akta tersebut menyebabkan aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas tapak pelupusan sampah secara haram tidak efektif.

Jelas Mohd. Zahir, sejak 2020 sehingga September lalu, sebanyak 262 operasi sampah haram telah dijalankan pihaknya.

“Sebanyak 12 kes pendakwaan sampah haram juga telah direkodkan dari 2014 sehingga April lalu dengan denda berjumlah RM174,000

“Terdapat juga lokasi yang berlaku pembuangan berulang namun hasil intipan dan operasi pembuangan, terdapat pihak-pihak yang telah ditangkap dan kertas siasatan dibuka untuk tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu katanya, Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada tujuh buah negeri yang menerima pakai Akta 672 bagi mentransformasikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Dengan usaha-usaha transformasi ini, ia diharap dapat mengatasi cabaran yang semakin kompleks seperti peningkatan kos pengurusan sisa pepejal, penjanaan sisa pepejal yang tinggi, sistem pelupusan sisa pepejal yang tidak mapan serta pembuangan sampah secara haram.

“Salah satu peranan SWCorp melalui Akta 672 adalah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan bagi kegiatan pembuangan sampah sampah secara haram. Ini termasuklah mengambil tindakan ke atas tapak-tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi tanpa lesen kemudahan atau fasiliti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN