39,104 murid Tingkatan 4 dan 5 di daerah Petaling terima vaksin - Utusan Malaysia

39,104 murid Tingkatan 4 dan 5 di daerah Petaling terima vaksin

DR. FARIDAH Amin (enam, kanan) bersama petugas kesihatan PPV MSU pada majlis penutupan PPV REMAJA MSU Shah Alam,Selangor pada semalam. UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 39,104 murid tingkatan 4 dan 5 di daerah Petaling telah lengkap divaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. 

Pakar Perubatan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Dr. Faridah Amin berkata, kesemua murid ini telah disuntik vaksin Pfizer dalam program yang bermula 20 September itu hingga hari ini. 

“Seramai 40 doktor, pegawai perubatan dan jururawat daripada PKD Petaling yang terlibat dalam program tersebut. 

“Kami hanya menerima dua kes murid yang menerima kesan sampingan setelah disuntik vaksin, namun setelah siasatan dijalankan mendapati mereka tidak makan langsung sebelum mengambil vaksin,” katanya ketika menghadiri majlis penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Canselori Management & Science University (MSU) di sini, semalam.

Sehingga Jumaat lalu, seramai 80.2 peratus daripada keseluruhan populasi remaja di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

Memetik laporan portal berita tempatan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia merupakan antara negara terpantas di dunia yang berjaya memberi vaksin kepada sebilangan besar golongan tersebut. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Perubatan MSU, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PKD Petaling bagi menjayakan PICK Remaja yang sedang berlangsung ketika ini. 

Menurutnya, sejumlah 80,840 dos vaksin yang telah diberikan dalam program berkenaan. 

“Secara keseluruhan, lebih 100,000 dos vaksin yang telah kami berikan di dua buah PPPV di sini dalam keseluruhan PICK. 

“Kami bersedia membuka PPV Dewan Canselori semula sekiranya PKD Petaling memohon kami berbuat demikian untuk menjayakan PICK bagi murid berumur 12 hingga 15 tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya