SINTOK: Seramai 32,000 pelajar tempatan dan luar negara memulakan sesi pengajian akademik 2021/2022 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kesemua pelajar memulakan sesi pengajian mereka hari ini secara dalam talian.
Menurutnya, pelajar fasa pertama akan pulang ke kampus secara berperingkat bermula pada 15 Oktober ini.
“Pensyarah dan kakitangan di kampus sudah bersedia untuk memulakan sesi pengajian di kampus seperti diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, beliau menasihati supaya pelajar yang akan pulang ke kampus supaya berhati-hati dalam perjalanan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Pelajar baharu disarankan supaya bersedia dan mengambil pengalaman dengan mengenali pensyarah-pensyarah di universiti ini.
“Tidak kira sama ada di kampus atau di lokaliti, buat masa ini pelajar akan terus mengikuti pengajian secara dalam talian berdasarkan kesesuaian program,” katanya.-UTUSAN ONLINE









