32,000 pekerja asing dibawa masuk sektor perladangan - Utusan Malaysia

32,000 pekerja asing dibawa masuk sektor perladangan

M. Saravanan (tengah) menyerahkan faedah Perkeso ketika menyantuni lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat jangkitan Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan, Selangor. - UTUSAN FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah 32,000 pekerja asing dibawa masuk untuk mengisi kelompongan tenaga kerja dalam sektor perladangan secara berperingkat seawal bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia oleh kementeriannya khususnya bagi memenuhi keperluan sektor tersebut.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah angka sebenar yang diperlukan sektor itu selepas membuat penelitian dan memberi ruang masa kepada majikan untuk mendahului warga tempatan. 

“Sebelum ini saya masih main ‘tarik-tarik’ untuk bawa masuk pekerja asing, sebab masih mengharapkan pekerja tempatan ambil peluang ini. namun nampaknya warga kita tidak minat kerja dalam sektor 3D (kotor, berbahaya, rumit).

“Setelah meneliti perkara itu, kita masih perlukan pekerja asing khususnya untuk perladangan walaupun semua sektor juga perlukan pekerja asing. Tetapi peringkat awal ini saya nak lihat bagaimana SOP yang kita tetapkan untuk bawa masuk pekerja asing ini boleh dipatuhi dalam keadaan Covid-19 ini,” katanya dalam sidang akhba,r di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menziarahi keluarga lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kematian kedua ibu bapa mereka akibat Covid-19 dan menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Saravanan berkata, keputusan membawa masuk pekerja asing bukanlah satu perkara yang disukai kerana tidak mahu dipersalahkan jika ia menjadi punca kepada penularan semula  jangkitan wabak di negara ini. 

Bagaimanapun, katanya, pihaknya meletakkan syarat ketat kepada majikan sektor berkenaan iaitu perlu mematuhi sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang mana wajib menyediakan kemudahan sewajarnya kepada pekerja asing seperti tempat tinggal dan penginapan bersesuaian.

Selain itu, kata beliau, pihak majikan perlu meyakinkan kepada kementerian bahawa kerja-kerja lain seperti tugas-tugas di pejabat atau menjaga stor perlu diisi oleh warga tempatan dan bukan sepenuhnya diberikan tugas kepada pekerja asing.

“Itu prasyaratnya, selagi tidak beri kepada saya berapa jumlah pekerja tempatan yang sedang bekerja, mereka tidak akan diluluskan untuk mengambil pekerja asing. 

“Permintaan daripada sektor perladangan adalah 32,000, tetapi kita cuba seberapa rendah lagi untuk dibawa masuk peringkat awal. Sektor lain masih dalam perbincangan walaupun kita juga tahu berapa angka mereka perlukan pekerja asing, jadi untuk kali pertama ini kita beri sektor perladangan dahulu,” katanya. 

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kira-kira 400,000 pekerja warga asing meninggalkan negara ini akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu dan 200,000 lagi gagal dikesan ekoran kehilangan pekerjaan kerana penutupan sektor ekonomi.

Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa)  sebelum ini merekodkan jumlah pekerja asing yang berdaftar seramai 1.9 juta orang.

Kerajaan semalam menetapkan SOP kemasukan pekerja asing dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara case-by-case basis oleh Jawatankuasa Pekerja Asing yang dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Saravanan.

Terdapat empat SOP yang ditetapkan iaitu pra perlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan dan pasca kuarantin.

Bagaimanapun, kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan lain adalah tertakluk kepada keputusan mesyuarat bersama dua menteri itu. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.