LANGKAWI: Pelancong dan peniaga di Jalan Pantai Chenang di sini tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di kawasan tumpuan pengunjung itu yang berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus.
Mereka mendakwa, pihak berkuasa tempatan sepatutnya memastikan keadaan jalan tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih selepas projek rintis gelembung pelancongan di pulau peranginan ini dilancarkan pada 16 September lalu.
Keadaan laluan di kaki lima di jalan tersebut yang dipenuhi sampah sarap boleh mencacatkan pemandangan di kawasan berkenaan yang dikunjungi ramai sehingga larut malam.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar laluan di kaki lima tersebut mendapati banyak daun kering dan sampah sarap tidak dibersihkan.
Malah, pengunjung memuat naik satu perkongsian di media sosial yang menunjukkan keadaan laluan di kaki lima di hadapan deretan premis perniagaan di sepanjang Jalan Pantai Chenang berada dalam keadaan kotor dengan penuhi sampah sarap.
Seorang pelancong dari Alor Setar, Hidayah Ismail, 29, berkata, dia terkejut apabila mendapati banyak sampah sarap yang dibiarkan bertaburan di laluan kaki lima di hadapan deretan premis perniagaan di Jalan Pantai Chenang ini.
Katanya, keadaan lebih kotor dan tidak terurus di hadapan premis perniagaan yang belum dibuka oleh pemiliknya.
“Jalan Pantai Chenang ini merupakan kawasan tumpuan pelancong yang popular di Langkawi, namun keadaannya mengecewakan kerana tidak bersih,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pelancong dari Ipoh, R. Rames, 46, pihak berkuasa tempatan sepatutnya sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan untuk memastikan kawasan ini berada dalam keadaan bersih.
Selain itu, katanya, sepanjang jalan sebelum sampai di Pantai Chenang juga didapati dipenuhi dengan rumput dan lalang yang boleh menjejaskan imej pulau legenda ini.
“Pihak berkuasa tempatan sepatutnya melakukan pemantauan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dan memastikan sentiasa berada dalam keadaan bersih,” ujarnya.
Seorang pekerja pembantu di Pantai Chenang, Che Nur Harliana Che Hashim, 22, berkata, kebiasaannya beberapa kakitangan pihak berkuasa tempatan membersihkan laluan kaki lima di hadapan premis perniagaan di sini tetapi kelibat mereka tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.
“Sebaliknya, saya mendapati kakitangan pihak berkuasa tempatan hanya mengutip sampah di dalam tong sampah sahaja yang disediakan di jalan tersebut,” katanya.
Seorang lagi pembantu kedai, Nor Hanisha Mohd. Ehisham, 21, berkata, kebiasaannya pekerja di premis perniagaan terpaksa membersihkan laluan kaki lima di premis masing-masing.
“Kami terpaksa mengambil inisiatif membersihkan sendiri sampah di hadapan premis masing-masing untuk memastikan berada dalam keadaan bersih,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE