2 kampung Orang Asli di Pahang dan Perak tamat PKPD esok - Utusan Malaysia

2 kampung Orang Asli di Pahang dan Perak tamat PKPD esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua perkampungan masyarakat Orang Asli masing-masing di Pahang dan Perak ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak mulai esok.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad, antara lokaliti tersebut ialah Kampung Sungai Padi dalam Mukim Telang, Daerah Lipis di Pahang.

Perkampungan itu dikenakan PKPD sejak 19 September sebelum disambung lagi selama 14 hari pada 3 Oktober lalu susulan peningkatan kes akibat Kluster Sawit Jalan Raub Tersang.

Kes indeks bermula daripada seorang pekerja ladang kelapa sawit warganegara asing yang bergejala pada 27 Ogos lepas sebelum menjangkit 92 orang penduduk etnik Semai di situ.

Turut ditamatkan PKPD seperti dijadualkan oleh MKN ialah Kampung Chadak dalam Mukim Tanjung Rambutan di Daerah Kinta, Perak yang didiami kaum Orang Darat dari suku Semai.

Perkampungan terpencil berkeluasan 1,000 hektar itu terletak 15 kilometer dari pekan Tanjung Rambutan dan terkenal dengan industri ternakan madu kelulut.

Ia dikenakan PKPD pada 3 Oktober lalu namun mereka sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 awal Julai lalu.

Rodzi turut memaklumkan bahawa tiada lokaliti baharu diwartakan PKPD atau lokaliti sedia ada yang akan dilanjutkan lagi tempoh sekatan berkenaan buat hari ketiga berturut-turut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN