KLANG: Tindakan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia sanggup bergadai nyawa berhimpit-himpit pada waktu malam dalam sebuah bot kecil bersaiz kira-kira lima meter panjang dan 1.5 meter lebar untuk menyeberangi sempadan negara secara haram, kelmarin.
Kesemua PATI berkenaan dikatakan dalam perjalanan meninggalkan negara ini untuk pulang ke tanah air mereka dengan hanya menaiki sebuah bot fiber.
Namun, hasrat pulang ke kampung tanpa melalui jalan yang sah tidak kesampaian apabila bot mereka dikesan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.
Bot yang tidak bernombor pendaftaran itu dikesan kira-kira 5.5 batu nautika Selat Melaka di perairan Tanjong Karang, Kuala Selangor, kira-kira pukul 11.20 malam.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kegiatan sindiket berkenaan dihidu pihaknya menerusi risikan serta maklumat yang diberikan orang awam.
“Pasukan Maritim Malaysia yang menaiki bot Penggalang 11 mengesan mereka bot tersebut. Pada mulanya, bot itu cuba memecut laju, namun disebabkan membawa penumpang ramai, kami dapat menahannya.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati 21 lelaki dan 12 wanita yang berumur antara 10 hingga 63 tahun duduk terhimpit. Bos tersebut tidak mempunyai lampu di sekelilingnya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan tekong bot berkenaan, iaitu seorang warga tempatan yang berumur 27 tahun dan pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati setiap PATI membayar kepada sindiket antara RM1,500 hingga RM2,500, bergantung kepada jarak dan lokasi perjalanan. Bagaimanapun, kami sedang mengenal pasti dalang sindiket tersebut.
“Bagi Maritim Selangor, itu adalah kes penahanan terbesar cubaan PATI untuk keluar dari Malaysia yang ditangkap pada tahun ini,” ujarnya.
Muhaimin menambah, kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan cuba keluar melalui laluan tidak diwartakan.
Manakala tekong pula disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007. Bot tersebut disita untuk siasatan lanjut. – UTUSAN










