1,668 pegawai, anggota polis pantau pematuhan SOP di Perak

1,668 pegawai, anggota polis pantau pematuhan SOP di Perak

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 1,668 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat tumpuan ramai susulan kebenaran aktiviti rentas negeri sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua Ketua Polis Daerah telah diarahkan untuk memastikan penguatkuasaan oleh pasukan pemantau SOP daerah dipertingkatkan di tempat-tempat tumpuan ramai.

Katanya, antara lokasi yang dijangka menerima kunjungan ramai seperti lapangan terbang, stesen keretapi, hentian rehat dan rawat, kawasan perkelahan dan pelancongan.

“Sebanyak 417 pasukan pemantau SOP dengan kekuatan 417 orang pegawai kanan dan 1,251 anggota telah ditugaskan untuk memantau pematuhan SOP di negeri ini.

“Elemen lain seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) juga akan ditugaskan untuk melakukan rondaan dan pemeriksaan yang lebih kerap di tempat-tempat tumpuan ramai,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 111 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP direkodkan sejak Isnin lalu sehingga semalam.

Katanya, gagal mendaftar masuk premis merupakan kesalahan yang paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 43 kompaun diikuti gagal memakai pelitup muka sebanyak 40 kompaun.

“Satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan merentas daerah dan satu kompaun lagi dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri selain dua kompaun atas kesalahan makan di premis tanpa lengkap divaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai yang ingin memasuki negeri ini yang telah lengkap divaksin dan cukup tempoh supaya sentiasa mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa. 

“Polis akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang berkuatkuasa dan akan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN