14 lokasi di Pulau Pinang catat kehadiran lebih 27,000 pengunjung 

14 lokasi di Pulau Pinang catat kehadiran lebih 27,000 pengunjung 

YEOH Soon Hin (dua dari kiri) ketika melancarkan kempen panduan pelancongan bertanggungjawab di Pulau Pinang di Hotel Angsana, Teluk Bahang, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sebanyak 14 lokasi tumpuan pelancong di Pulau Pinang mencatatkan jumlah kedatangan pengunjung yang memberangsangkan iaitu mencecah 27,059 orang bermula 11 hingga 19 Oktober lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, data berkenaan diperoleh menerusi tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) selepas kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan. 

Menurut beliau, antara 14 lokasi tarikan pelancong yang terlibat dalam pengumpulan data itu adalah Audi Dream Farm, Tropical Spice Garden, The Top Penang, Taman Burung Pulau Pinang dan banyak lagi. 

Dalam pada itu tambahnya, kadar purata penginapan hotel di negeri itu seperti dikongsi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang mencapai kadar antara 75 hingga 45 peratus dari 15 hingga 19 Oktober lalu. 

“Dalam tempoh itu, kadar penginapan di hotel kawasan pantai mencecah 75 peratus, hotel di kawasan tapak warisan dunia UNESCO (70 peratus) dan hotel di Seberang Perai (65 peratus). 

“Selain itu, hotel di Bayan Lepas mencatatkan kadar penginapan sekitar 50 peratus manakala di pusat bandar Georgetown (45 peratus),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen panduan pelancongan bertanggungjawab di Pulau Pinang di Hotel Angsana, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh; Pengerusi MAH Pulau Pinang, K.Raj Kumar dan penggiat-penggiat industri pelancongan Pulau Pinang. 

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melaksanakan kempen panduan pelancongan bertanggungjawab kepada penggiat industri dan pelancong bagi mengelakkan penularan Covid-19. 

“Sekiranya anda melihat garis panduan kempen ini secara terperinci, kami menghendaki operator memeriksa dengan teliti sijil vaksin digital pelawat dan memberikan maklumat terkini mengenai status risiko Covid-19 setiap hari.  

“Langkah-langkah ini dilaksanakan untuk melengkapi SOP lain seperti daftar keluar dan masuk melalui MySejahtera, pemeriksaan suhu, pembersihan ruang awam secara teratur dan banyak lagi,” katanya. 

Tambah beliau, bagi pelancong selain protokol kesihatan yang ditentukan oleh pihak berwajib, mereka juga digalakkan menjalankan ujian kendiri Covid-19 sebelum melawat Pulau Pinang selain memakai pelitup muka berganda ketika di tempat awam seperti tempat tarikan pelancong dan premis hotel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN