fbpx

8 Disember 2021, 10:08 pm

  TERKINI

134 kes VOC dikesan seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 134 kes baharu melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dengan 132 kes daripadanya adalah varian Delta (B.1.617.2) manakala dua lagi adalah varian Beta (B.1.351). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan itu susulan kajian berterusan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM), Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome Institute (MGI) dan Institute for Medical Research (IMR).

Katanya, kajian tersebut terbahagi beberapa penemuan iaitu UMBI-UKM mengenal pasti sebanyak 79 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2); iPROMISE-UiTM pula mengesan sebanyak 10 kes varian Delta (B.1.617.2).

Ini termasuk penemuan TIDREC-UM meliputi sebanyak tujuh kes varian Delta (B.1.617.2) selain MGI menemukan satu kes varian Delta (B.1.617.2) serta IMR pula sebanyak 37 kes iaitu 35 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).

“Susulan penemuan itu, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 2,386 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,366 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. 

“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 2,128 kes varian Delta; 224 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Noor Hisham berkata, bagi kes VOI pula, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Katanya, jika melihat kepada jadual kes yang dikepilkan, Pahang merekodkan dua kes baharu varian Beta, manakala semua negeri mempunyai pertambahan varian Delta dengan Johor menjadi negeri tertinggi iaitu 43 kes.

“Negeri Sembilan pula merekodkan sebanyak 18 kes; Melaka (15), manakala Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah, masing-masing 13 kes. 

“Bagi Pulau Pinang mencatatkan enam kes diikuti Pahang (empat), Sarawak (dua), manakala Kelantan, Kedah, Terengganu, Putrajaya dan Perlis, masing-masing satu kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI