TANAH MERAH: Belum lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 namun tetap selamba keluar beriadah apabila mendaki Bukit Panau, di sini yang merupakan lokasi tumpuan orang awam.
Demikian aktiviti 10 remaja pagi ini namun nasib mereka kurang baik apabila dikesan pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan menyebabkan mereka dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Zainuddin Md. Yusoff berkata, operasi bermula pukul 7.30 pagi dan seramai 250 pengunjung telah diperiksa dengan bantuan petugas kesihatan dan anggota Rela.
Katanya, pemeriksaan pada aplikasi MySejahtera mendapati kesemua remaja berusia 14 hingga 18 tahun terbabit belum melengkapkan vaksinasi sebagaimana disyaratkan sebelum dibenarkan beriadah di lokasi awam.
“Mereka dikompaun mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dengan nilai kompaun RM2,000 setiap seorang.
“Kita ingin mengingatkan selagi individu tersebut tidak lengkap suntikan vaksin, mereka tidak boleh ke tempat pelancongan atau lokasi tumpuan orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, dalam operasi sama polis turut mengeluarkan notis amaran kepada 15 pengunjung yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) apabila gagal menjaga penjarakan fizikal.
“Polis akan mengeluarkan kompaun terhadap 15 individu itu sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” tegas beliau.
Tambahnya, polis sentiasa menggalakkan pengunjung beriadah di kawasan itu namun mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan ketika ini.