KUALA LUMPUR: Usahawan dan selebriti popular, Datuk Seri Vida tidak mahu terlalu mencanang soal hubungan cinta dengan bekas pembantu peribadi, Ahmad Iqbal Zulkefli kerana tidak mahu berdepan cemuhan netizen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 49 mengesahkan dia memang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Iqbal namun segalanya tertakluk kepada perancangan Tuhan.
“Saya sebenarnya malas nak beri komen sebab orang kita kuat mengata. Ada yang cop saya gedik, tak sedar diri, kubur dah panggil masih nak kahwin. Tetapi soal jodoh inikan di tangan Tuhan.
“Memang saya merancang untuk berkahwin tetapi ada beberapa syarat antaranya soal kesuburan dan anak-anak. Saya pun sudah beberapa kali melalui episod kegagalan rumah tangga, tidak mahulah perkara sama berulang,” katanya.
Nama Vida dan Iqbal kembali diperkatakan selepas bekas pembantu peribadinya itu mendedahkan hubungan cinta antara mereka terjalin semula selepas beberapa tahun terputus.
Namun pendedahan Iqbal turut menerima kecaman dan kritikan hebat warganet yang mempersoal keikhlasannya mendekati Vida semula dan usia selebriti popular itu yang kini menghampiri 50 tahun.
Bercakap soal perkahwinan, setakat ini Vida masih belum ada tarikh khusus berikutan situasi pandemik yang meruncing, namun dia tidak menolak majlis akan berlangsung dalam tahun ini atau awal tahun depan.
“Perancangan itu ada tetapi tunggu sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dan situasi pandemik di negara ini beransur pulih. Saya pun sudah melakukan ujian kesuburan jadi kita lihatlah nanti ya,” katanya.
Ditanya bila hubungan yang terputus di tengah jalan sebelum ini kembali terjalin, jelas Vida, dia dan Iqbal tidak pernah berhenti bertanyakan khabar sesama mereka dan akhirnya, membuat keputusan untuk bersama semula.
“Kami setiap hari bertanyakan khabar walaupun sudah putus hubungan sejak 2018. Lama-lama, kami jadi rapat semula dan insya-Allah, jika ada jodohnya bertemulah nanti di pelaminan,” katanya. – UTUSAN










