Wang tabung surau hasil derma tempoh PKP lesap dilarikan pencuri - Utusan Malaysia

Wang tabung surau hasil derma tempoh PKP lesap dilarikan pencuri

PENUTUP Tabung Badan Kebajikan dan Khairat Kematian dipecahkan pencuri yang menceroboh Surau Al-Huda, Taman Inderapura bandar Jerantut di Jerantut, Pahang. - IHSAN PENDUDUK TAMAN INDERAPURA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tabung Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Surau Al-Huda Taman Perumahan bandar Jerantut, di sini dipecahkan pencuri yang  menceroboh premis berkenaan semalam.

Pengerusi Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Taman Inderapura (Bakkti), Rahmat Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas solat Zohor hingga menjelang waktu Asar semalam.

“Kejadian disedari hli jemaah surau ini ketika hendak memulakan solat Asar semalam.

“Kita tidak tahu berapa jumlah wang terkumpul dalam tabung ini yang lesap tetapi jangkaannya tentu banyak kerana (wang) yang terkumpul dalam tabung ini adalah sumbangan ahli kariah surau dan dermawan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak empat bulan lalu,” katanya di Taman Inderapura, hari ini.

Menurut Rahmat, jawatan kuasa surau tidak membuka tabung itu untuk mengira jumlahnya memandangkan semasa tempoh PKP kehadiran jemaah surau terhad berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 5.15 petang semalam.

“Polis melakukan siasatan dan pemeriksaan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di surau ini.

“Berikutan kejadian ini, jawatan kuasa pengurusan surau ini akan memasang dua unit  CCTV lagi di luar surau sebagai langkah kawalan serta jaminan keselamatan pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN