Wang milik MBI Kedah RM13 juta dipindah dalam akaun di Kanada - Utusan Malaysia

Wang milik MBI Kedah RM13 juta dipindah dalam akaun di Kanada

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, berlaku pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah berjumlah RM13 juta ke satu akaun di luar negara ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar sebelum ini.

Menurut Muhammad Sanusi, pemindahan wang tersebut telah dibuat ke dalam akaun berkenaan yang berpangkalan di Kanada.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pemilik akaun tersebut dan  tujuan wang itu dipindahkan ke luar negara walaupun mendakwa masih menyimpan slip bank berkaitan perkara berkenaan.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai mengungkit hal lama. Rasanya saya tak ungkit hal lama dan bila beliau bangkitkan satu perkara, baru saya jawab.

“Ada hal lama pemindahan wang MBI RM13 juta ke satu akaun luar negara di Kanada. Saya tak pernah sebut kepada sesiapa pun dan hari ini baru sebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Tambahnya, jika beliau benar-benar hendak mengungkit hal lama, masih banyak lagi perkara yang boleh diungkitnya.

MUKHRIZ MAHATHIR

Malah beliau turut menempelak Mukhriz yang didakwa kelilingi ‘punah sihat’ dan bukannya penasihat seperti dinyatakan ADUN Jitra itu ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Kedah dalam Sidang DUN berkenaan.

“Bila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk bayar satu perbelanjaan yang dibuat penasihat Menteri Besar pada masa itu untuk bekalkan kuih raya. Kuih raya itu saya dapati harga begnya lebih mahal dari kuih hingga menyebabkan kita terpaksa bayar hingga RM1.3 juta.

“Saya katakan sebenarnya beliau bukan dikelilingi penasihat tetapi dikelilingi ‘punah sihat’. Sebab itu kena bayar harga RM1.3 juta dengan harga beg lagi mahal daripada kuih,” katanya.

Justeru beliau dalam nada sinis turut menasihatkan agar mana-mana pihak untuk tidak membaling batu ke rumah orang sekiranya rumah sendiri dibina daripada kaca. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya