Wan Besi nafi terlibat seludup Sajat - Utusan Malaysia

Wan Besi nafi terlibat seludup Sajat

WAN AZHAR HARUN (kanan) bersama Zuhair Ahmad Zakuan keluar dari IPD Kangar selepas tampil menafikan penglibatannya dalam kes  penyeludupan keluar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Wan Besi atau nama sebenarnya, Wan Azhar Harun, 51, menafikan penglibatannya dalam kes  penyeludupan keluar usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand.

Dia bersama peguamnya, Zuhair Ahmad Zakuan hadir ke Ibu pejabat Polis Dearah (IPD) Kangar kira-kira pukul 12.51 tengah hari ini bagi membuat penafian terbabit dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Zuhair berkata, anak guamnya mengetahui mengenai tuduhan tersebut apabila menerima panggilan telefon daripada rakannya yang menyatakan dia adalah pengkhianat negara kerana terlibat dalam kes Nur Sajat seperti dalam laporan sebuah akhbar.

Katanya, berita tersebut adalah tidak wajar dan amat dikesali kerana lelaki itu yang tinggal di Padang Besar dan bekerja sebagai pengusaha ternakan lembu sejak 10 tahun lalu.

“Dia juga ada terlibat dengan pembedahan jantung. Jadi dia agak uzur untuk melakukan perkara-perkara sedemikian. Oleh itu, kami datang pada hari ini untuk memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak terlibat seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut.

“Polis juga mengatakan tidak ada arahan untuk menangkapnya. Maksudnya tidak ada kes,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, tuduhan sebagai pengkhianat negara adalah sesuatu tuduhan yang besar serta amat serius dan tindakan selanjutnya sama ada dalam bentuk sivil akan dibincangkan bersama anak guamnya kemudian.

“Laporan polis mengenai perkara ini belum dilakukan dan akan dibuat kemudian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Azhar memberitahu, dia mengetahui mengenai laporan akhbar tersebut daripada kawannya selepas pulang dari solat subuh pagi tadi.

“Nama penuh saya memang lain tetapi orang memang mengenali saya sebagai Wan Besi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintenden, Mohd Anuar Jusoh ketika dihubungi mengesahkan kehadiran lelaki terbabit ke IPD Kangar untuk membuat penafian tersebut namun belum menerima laporan polis dari mereka.

“Buat masa ini, tiada arahan atau waran tangkap terhadap lelaki tersebut oleh Polis Perlis,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya