Vaksin usaha kawal peningkatan mendadak kes Covid-19 kanak-kanak, remaja - Utusan Malaysia

Vaksin usaha kawal peningkatan mendadak kes Covid-19 kanak-kanak, remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Keputusan kerajaan melaksanakan program suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini tepat pada masanya.

Ini kerana, data terkini menunjukkan berlakunya trend peningkatan kes membabitkan golongan itu sejak beberapa bulan lalu dan ia sangat membimbangkan.

Perkara itu diakui sekumpulan pakar perubatan pada sesi libat urus bersama media anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertajuk Keberkesanan Vaksin dan Vaksinasi Remaja, hari ini dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim bersama tujuh ahli panel.

Pakar Pediatrik Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata, data menunjukkan seramai  310,000 kanak-kanak dan remaja dijangkiti Covid-19 setakat bulan ini dengan 41 kematian direkodkan.

Menurutnya, ia peningkatan ketara berbanding hanya 12,620 kes jangkitan dan enam kematian tahun lalu, malah, kes jangkitan membabitkan golongan itu juga naik mendadak sejak Julai lalu disebabkan penularan varian Delta.

Sementara itu, Hishamshah berkata, beliau tidak menafikan tumpuan utama kerajaan adalah untuk memberi suntikan vaksin kepada populasi dewasa, namun golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak harus dipinggirkan.

Justeru, katanya, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan program vaksinasi kepada remaja selepas populasi dewasa mencapai 80 peratus imuniti kelompok.

“Kami dapati data kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan sejak beberapa bulan lalu.

“Apabila semakin ramai populasi dewasa hampir mencapai imuniti kelompok, jangkitan wabak mungkin akan beralih kepada golongan kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN