UPKK diganti penilaian penuh, kelas KAFA secara PDPR - Utusan Malaysia

UPKK diganti penilaian penuh, kelas KAFA secara PDPR

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peperiksaan subjek secara bertulis bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) akan digantikan dengan pelaksanaan pentaksiran yang berbentuk penilaian sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perubahan kaedah tersebut melibatkan kesemua calon bagi tahun 2020 lalu dan tahun semasa 2021.

“Keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kepada subjek yang dipelajari bermula Tahun 1 hingga 6,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

UPKK secara bertulis dijadualkan berlangsung serentak untuk calon 2020 dan 2021 dari 15 hingga 18 November ini setelah ditangguh daripada asalnya pada 4 hingga 7 Oktober ini yang melibatkan lima mata pelajaran iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughatul Quran ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Peperiksaan itu kelazimannya dijadikan sokongan untuk kemasukan ke 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan dan sijil berkenaan boleh dijadikan kelebihan bagi memasuki 12 buah sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan tiga buah sekolah menengah agama persekutuan (SMAP) kementerian tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Idris berkata, proses kemenjadian murid dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah dan penilaian baharu tidak menjejaskan mutu penguasaan subjek.

“Justeru, bagi tujuan ini, pihak Jakim akan memaklumkan kaedah dan tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis UPKK yang telah dibatalkan pada masa ditetapkan itu,” katanya.

Perubahan itu selaras pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Oktober, diumumkan Menteri Kanan Pendidikan pada 12 September lalu mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau pada masa sama memaklumkan pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi Tahun 1 hingga 6 diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) selaras mengikut takwim persekolahan baharu 2021 yang sudah dilanjutkan pihak Kementerian Pendidikan sehingga akhir Februari pada tahun depan.

Dengan keputusan terbaharu ini jelas beliau, guru KAFA dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan Jakim kelak.

Jakim katanya, turut sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan wabak Covid-19 khususnya aspek keselamatan dan kesihatan murid serta tenaga pengajar.

Ibu bapa juga diminta memastikan anak tekun mengikut aktiviti secara PDPR kerana Jakim sentiasa komited memastikan pendidikan KAFA bergerak seiring demi kemenjadian murid.

“Pelaksanaan KAFA di seluruh negara juga berdasarkan kalendar persekolahan arus perdana dan perkembangan semasa PPN yang ditetapkan mengikut fasa yang berbeza,” kata Idris.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.