ARAU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ramai pihak khususnya peniaga yang terpaksa menutup operasi selama berbulan-bulan.
Dilema tersebut turut dirasai oleh seorang pemilik pusat kecantikan, Hasmiza Hashim, 37, yang terpaksa menutup perniagaan yang diusahakan sejak 2007 kerana sudah tidak mampu menampung kos yang tinggi.
Ibu kepada seorang anak berusia setahun itu memberhentikan operasi pusat kecantikan berkenaan dalam tempoh PKP pertama lalu.
Bagaimanapun, situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangat Hasmiza apabila tekad mencuba berniaga secara dalam talian, sebuah bidang baharu yang diceburinya.
Siapa sangka, usaha tanpa mengenal erti putus asa membuahkan hasil apabila perniagaan serum muka secara dalam talian itu berjaya membawa pulangan cukup lumayan sehingga mencecah RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.
Hasmiza berkata, meskipun pada peringkat awal agak kekok untuk berinteraksi dengan orang ramai secara langsung di Facebook, dia berjaya mengatasi rasa tersebut dan semakin yakin berniaga secara dalam talian.
“Saya sendiri tidak sangka berniaga secara dalam talian mampu menjana pendapatan yang lumayan. Apa yang penting kita jangan sesekali putus asa untuk terus berusaha.
“Dalam suasana norma baharu dengan ramai terkesan, perniagaan secara dalam talian adalah pilihan terbaik membantu menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Arau di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, dalam tempoh beberapa bulan sahaja menjalankan perniagaan produk kecantikan Toya Serum itu, dia sudah mempunyai lebih 50 ejen dan stokis.
Katanya, hal tersebut secara tidak langsung turut membuka peluang kepada individu-individu terjejas berikutan PKP menjalankan perniagaan secara dalam talian.
Ujarnya, serum muka tersebut dijual pada harga sekitar RM33 dan semakin hari permintaan diterima semakin tinggi.
“Meskipun pengalaman pertama berniaga dalam talian namun saya mula menyesuaikan diri. Malah, perniagaan secara dalam talian ini memberi saya lebih masa bersama keluarga.
“Sambil menjana pendapatan, masa kita juga banyak bersama keluarga dengan perniagaan hanya dilakukan di rumah sahaja.
“Selalunya saya mula bersiaran langsung di Facebook antara pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam dan mempromosi serum muka tersebut dalam laman-laman sosial,” katanya.
Tambahnya, melihat kepada sambutan jualan tersebut, dia bercadang memperluas perniagaan serum muka tersebut termasuk menambah ejen dan stokis. – UTUSAN ONLINE










