Tolak MoU, Warisan tidak mahu jadi lemah- Darell Leiking - Utusan Malaysia

Tolak MoU, Warisan tidak mahu jadi lemah- Darell Leiking

DARELL LEIKING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) kekal teguh menyokong pendirian Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU Kerajaan Persekutuan- Pakatan Harapan (PH)

Timbalan Presiden Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, tindakan Presiden Warisan menolak MoU itu kerana tidak mahu pembangkang menjadi lemah sehingga tidak mampu bertindak sebagai semak dan imbang kepada polisi kerajaan.

Beliau berkata, Warisan menyokong reformasi dalam kerajaan termasuk melaksana Undi18, mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, undang-undang anti-lompat parti dan polisi kerajaan mengawal pendemik Covid-19 demi memulihkan ekonomi.

“Parti ini tidak melihat terdapat keperluan menandatangani MoU sebaliknya, kami memilih untuk bekerjasama berdasarkan keadaan tertentu.

“Sekiranya kerajaan melaksanakan satu polisi yang membawa kebaikan kepada rakyat, selaku pembangkang, kami akan memberikan sokongan penuh berdasarkan semangat bipartisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal yang mempertikaikan tindakan Mohd. Shafie menolak MoU kerana mempunyai agenda tersendiri untuk menjadi Perdana Menteri.

Jelas beliau, Mohd. Shafie seorang pemimpin yang sentiasa kekal dengan jati diri yang tinggi bagi menolak sebarang salah laku yang hanya mendatangkan kebaikan kepada dirinya dan bukan kepentingan rakyat.

“Lihat sahaja bagaimana beliau (Mohd. Shafie) membongkar dan mendedahkan isu 1MDB. Beliau disingkirkan daripada kerajaan dan digugurkan daripada jawatan pemimpin kanan dalam UMNO kerana mendedahkan salah laku dalam kerajaan pada masa itu,” katanya.

Ahli Parlimen Penampang ini turut menolak dakwaan bahawa Mohd. Shafie mencalonkan diri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Pencalonannya dikemukakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagi menyelesaikan kemelut politik semasa berlakunya langkah Sheraton. Bagaimanapun, Mohd. Shafie menolak cadangan tersebut.

Malah, semasa perbincangan pemimpin pembangkang baru-baru ini, Presiden Warisan itu turut menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dengan menandatangani akuan bersumpah (SD).

Darell berkata, Warisan akan terus bekerja demi rakyat dan bukannya ingin membentuk kerajaan semata-mata.

“Ketika ini, kami percaya menjadi pembangkang yang mempunyai prinsip adalah jauh lebih baik berbanding rakan komponen dalam kerajaan yang tidak mampu bersuara.

“Warisan tidak akan berunding sebaliknya akan menuntut kerajaan hari ini untuk membantu rakyat sepertimana peranan kerajaan. Warisan bersedia bekerjasama dengan mana-mana blok politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang sekiranya ia memberi manfaat kepada Perlembagaan Malaysia dan rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN