PETALING JAYA: Mensasarkan golongan wanita bekerjaya dan kesunyian sebagai mangsa.
Itu dilakukan sindiket parcel scam apabila sebanyak 115 kertas siasatan melibatkan kerugian berjumlah RM1.64 juta dibuka kontinjen Kuala Lumpur.
Malah, terbaharu, tiga ibu tunggal terpaksa berputih mata apabila kerugian sebanyak RM31,500 selepas ditipu sindiket parcel scam, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, menerusi tiga kes yang diterima, kesemua mangsa telah berkenalan dengan seorang individu melalui media sosial.
Katanya, kenalan alam maya mereka telah memaklumkan ada menghantar bungkusan dari luar negara.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut
“Bagaimanapun, bungkusan yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mahidisham, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa. Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN