Tidak sengaja ceroboh tanah rizab masjid, pondok kuil dipindahkan - Utusan Malaysia

Tidak sengaja ceroboh tanah rizab masjid, pondok kuil dipindahkan

S. Veerapan (lima dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam, J.Arul Kumar (lima dari kanan) dan Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Shahrudin (tujuh dari kiri) selepas mengadakan perbincangan dengan pihak jawatankuasa kuil yang berkaitan dalam isu berkenaan di Tampin, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tiada sebarang kerja pembinaan kuil dilakukan berhampiran tanah yang sudah diwartakan sebagai tapak pembinaan masjid di Taman Indah Baru, Tampin, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S. Veerapan berkata, kawasan seluas kira-kira 88 meter persegi yang dikatakan diambil secara tidak sengaja dan dikesan selepas pengukuran itu akan dikosongkan semula secepat mungkin.

Katanya, pihak kuil akan segera mengalihkan pondok kecil yang masuk ke dalam kawasan tanah rizab milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di taman berkenaan.

“Saya sudah menghubungi pihak kuil dan mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terdapat 88 meter persegi tanah rizab masjid yang terlibat dengan projek pembesaran kuil berkenaan.

“Pihak kuil memaklumkan, perkara itu berlaku secara tidak sengaja ketika kerja-kerja membina pondok kecil di kawasan kuil itu dan ia dikesan selepas pengukuran tapak dilakukan.

“Mereka juga bersetuju untuk mengalihkan pondok terbabit daripada tanah rizab JHEAINS itu bagi menjernihakn semula keadaan. Tiada isu pun mereka mahu mengambil alih rizab masjid ini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, kerajaan negeri menafikan sudah memberi kelulusan atau membuat keputusan berkaitan status tanah milik JHEAINS di Taman Indah Baru, Tampin, yang didakwa dalam isu tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, perkara itu susulan satu memorandum bantahan dihantar oleh Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru kepada wakil rakyat kawasan itu selepas mendakwa tanah berkenaan diambil bagi pembinaan kuil.

Veerapan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Tampin bahawa rizab tapak Masjid Taman Indah Baru itu tetap kekal selepas ia diwartakan pada 19 Januari 2012.

“Status tanah itu masih kekal sama dan tidak berubah sehingga kini,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya