Tidak pernah minta Duta Afghanistan tinggalkan negara - Saifuddin - Utusan Malaysia

Tidak pernah minta Duta Afghanistan tinggalkan negara – Saifuddin

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan tidak pernah mengarahkan Duta Afghanistan meninggalkan Malaysia meskipun berlaku perubahan kerajaan di negara Asia Tengah itu.

Beliau sebaliknya menghargai hubungan dengan Afghanistan meskipun kerajaan tidak pernah mewujudkan kedutaan rasmi di negara berkenaan.

Katanya, tindakan terus membenarkan Duta Afghanistan kekal berada di negara ini menandakan bahawa kerajaan menghargai hubungan antara dua negara tersebut.

“Kita tahu apa yang berlaku di Kabul selama ini. Ketika ini, Afghanistan baru sahaja membentuk kerajaan dan kita tidak akan mengarahkan duta mereka meninggalkan negara.

“Itu adalah signal bahawa kita menghargai hubungan ini buat jangka yang panjang dan kita mahu meneruskan hubungan dengan Afghanistan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung kekecewaan Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr. Moheb Rahman Spinghar terhadap pendirian kerajaan yang masih tidak membuka kedutaan di Kabul dan melihat hubungan antara dua negara ini terus dingin seolah-olah tidak diberi perhatian dan dipinggirkan.

Moheb juga mendakwa, Afghanistan bukan pilihan utama pelabur Malaysia berbanding negara tetangganya malah mengatakan bahawa Malaysia tidak berminat untuk membuka bisnes serta menjadikan Afghanistan sebagai potensi pelaburan besar.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan akan membincangkan pendirian Malaysia mengenai kerajaan baharu Taliban di Afghanistan dalam mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Jumaat.

Beliau akan mendapatkan pelbagai pandangan daripada Jemaah Menteri, rakan Kementerian Luar di Qatar, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan sebelum membuat keputusan muktamad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN