KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menjelaskan tiada udang di sebalik batu terhadap Program Vaksinasi Tenaga Kerja Nasional (Protek) yang bermula 1 Ogos lalu.
Beliau berkata, program itu dilancarkan oleh kementerian menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan pekerja setelah mendengar keluhan para majikan yang mahu menggerakkan semula sektor pekerjaan yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, katanya, program ini menawarkan pilihan kepada majikan yang sukarela mahu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada para pekerja bagi meningkatkan kadar imuniti kelompok di kalangan mereka.
“Melalui inisiatif ini, pihak majikan khususnya di sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menjadi tunjang utama ekonomi negara, dapat beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, seterusnya mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara serta menjamin kesejahteraan rakyat.
“Walaubagaimanapun, setelah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memutuskan untuk membenarkan warga para pekerja mendapatkan vaksin secara walk in mulai 1 Ogos 2021, banyak majikan telah menyahut seruan kerajaan dan telah menghantar para pekerja ke pusat-pusat pemberian vaksin. Maka, Kementerian Sumber Manusia memutuskan untuk tidak meneruskan Protek,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang mempersoalkan status program Protek dan bayaran terhadap majikan ataupun potongan levi untuk vaksinasi.
Namun, Kulasegaran mendakwa PSMB telah menyeleweng daripada objektif asalnya.
“Jangan mengambil alih kerja orang lain dari swasta, semua yang dibuat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dibuat kementerian. Kalaupun ada tekanan dari majikan itu, tidak bermakna kita perlu beri kemudahan tersebut.
“Wang keluarkan dari levi itu ada udang di sebalik batu, ada komisyen dan sebagainya. Jadi ingatlah, saya pohon supaya menubuhkan satu kumpulan penyiasatan untuk menyiasat perkara ini dan jika perlu, ambil tindakan terhadap orang terlibat yang menyeleweng dalam hal ini,” katanya.
Saravanan bagaimanapun mempertahankan inisiatif PSMB dalam melaksanakan program Protek serta menganggap badan itu tetap berpegang kepada objektif asalnya.
“Apabila ditubuhkan PSMB, tanggungjawab mereka hanya fokus kepada latihan dan sebagainya tetapi dengan keadaan luar biasa, ini semua kementerian perlu main peranan memandangkan dalam keadaan ini, kita tiada latihan kemahiran secara bersemuka, maka levi sedia ada apabila majikan setuju kita buat pendekatan untuk menyelamatkan negara.
“Jadi bab udang di sebalik batu, mungkin sebelah sana sahaja tahu perkara ini, kita telus, bila masa ada udang di sebalik batu mungkin Yang Berhormat lebih arif mengenal pasti udang-udang ini,” katanya. – UTUSAN