Tiada kes Covid-19 libatkan pelancong di Langkawi

Tiada kes Covid-19 libatkan pelancong di Langkawi

SEBAHAGIAN daripada pelancong yang menggunakan perkhidmatan feri selepas Langkawi dibuka kepada pelancong sejak 16  September lalu. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan melibatkan kedatangan pelancong menerusi projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi sejak 16 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, keadaan itu membuktikan kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah projek rintis tersebut.

Malah, katanya, kejayaan itu bakal menjadi contoh kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain di negara ini.

“Setakat ini penularan Covid-19 di Langkawi hanya melibatkan penduduk tempatan saja. Tiada kes melibatkan kedatangan pelancong dari luar.

“Ini menunjukkan SOP diterapkan berjalan dengan amat baik dan lancar. Saringan dibuat di lokasi-lokasi pelepasan sebelum ke Langkawi, turut membantu menghalang individu yang positif daripada memasuki Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (Pas Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, kes-kes harian di Langkawi ketika ini hanya melibatkan penularan tempatan.

“Setakat ini seramai 200,000 pelancong memasuki Langkawi menjelang penghujung 2021.

“Ini satu pencapaian yang baik dan berdasarkan perkembangan positif di Langkawi, Kementerian Pelancongan juga telah mengumumkan bahawa sektor-sektor pelancongan lain akan mula dibuka pada 1 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok diyakini mampu mendatangkan kesan positif kepada penduduk setempat terutamanya golongan peniaga.

“Ketika jeti ini ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesannya memang terasa kerana para pelancong terpaksa ‘dilencongkan’ ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.

“Insya-Allah apabila jeti itu kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah dapat turut menikmati kesan pembukaan Langkawi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN