Tindakan ADUN tegur sikap Sanusi wajar - Phahrolrazi

Tegur sikap Sanusi wajar – Phahrolrazi

PHAHROLRAZI MOHD. ZAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menegur sikap dan tindakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ini adalah sesuatu wajar dilakukan.

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, teguran itu dibuat kerana setiap tindakan mahupun kenyataan dibuat Menteri Besar akan mendatangkan kesan kepada negeri ini.

“Muhammad Sanusi bukan orang biasa dan kita pun memang sudah banyak kali tegur beliau dalam Sidang DUN yang lepas. Kadang-kadang beliau bertelingkah dengan netizen, jadi kita tegur sebab jawatan disandangnya itu merupakan satu institusi yang perlu dijaga.

“Sebabnya apa juga kenyataan dibuat beliau, ada kaitan dengan kehidupannya sebagai Menteri Besar. Kalau kita campur tangan soal isteri dan anaknya memang tak bolehlah kerana soal sedemikian memang sangat peribadi.

“Tetapi ini berkaitan kedudukannya sebagai Menteri Besar sebuah negeri. Maka memang wajar bagi ADUN-ADUN pembangkang membangkitkan perkara itu kerana segala kenyataan dan tindak tanduknya membawa kesan kepada Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian bersama kalangan ADUN pembangkang selepas Sidang DUN Kedah, di sini hari ini.

Sejak semalam, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang antaranya Datuk Johari Abdul, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan dan ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Dr. Ismail Salleh menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

Begitu pun Muhammad Sanusi dalam sidang akhbarnya hari ini menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya dibawa ke Sidang DUN kerana persidangan tersebut sepatutnya menjadi tempat perbincangan mengenai hal-hal negeri dan rakyat.

Malah Muhammad Sanusi berkata, beliau akan tetap menjadi diri sendiri daripada bekerja dalam keadaan berlakon semata-mata demi memuaskan hati orang lain.

Mengulas lanjut Phahrolrazi berkata, Muhammad Sanusi perlu berubah kerana beliau berada di kedudukan ketiga dalam protokol negeri selepas Sultan dan Raja Muda.

“Saya fikir satu perkara yang tak betul kalau Muhammad Sanusi kata boleh bawa sikap seperti itu ketika memegang jawatan Menteri Besar

“Kalau fikir nak jadi orang biasa, nak pertahankan cara hidup seperti orang biasa, beliau tak boleh jadi Menteri Besar. Nanti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan dah habis jawatan Menteri Besar, boleh balik ke sikap seperti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya