‘Tak payah jadi menteri kalau isu ini pun tidak boleh selesaikan’

[Parlimen]: ‘Tak payah jadi menteri kalau isu ini pun tidak boleh selesaikan’

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said membidas tindakan kerajaan yang sehingga hari ini tidak mewujudkan mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Jelasnya, perkara tersebut menjadi perjuangannya ketika menjadi menteri dahulu, namun ia ‘terkandas’ dan masih tidak diwujudkan sehingga hari ini.

“Masa saya menteri, saya nak wujudkan mahkamah sesyen di semua negeri-negeri. Kerajaan dah setuju, sampai hari ni tidak buat-buat. Anak-anak pergi ke jenayah seksual. Bila dia pergi mahkamah jenayah biasa, Tuan Yang di-Pertua juga seorang peguam macam saya peguam jenayah, masuk kes, keluar kes mahkamah, sampai dah besar panjang, siapa nak jadi saksi Tuan Yang di-Pertua? Malu.

“Itu sebab kita nak mahkamah khas. Bilik saksi khas, adanya pendekatan khas, ini anak-anak yang menjadi mangsa, berapa banyak kes anak-anak didera di rumah, kes anak-anak menjadi mangsa jenayah, nak bawa ke mana?

“Kalau setakat nak jadi menteri, ini pun tak boleh selesai. Tidak payahlah nak jadi menteri sebab Tuan Yang Dipertua, anak-anak adalah masa depan sebuah negara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sindiran Azalina tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau mempersoal pula siapa menteri yang seharusnya bertanggungjawab dalam hal ini kerana dilihat tiada kelibat menteri yang berada di dalam Dewan Rakyat ketika beliau membahaskan isu tersebut.

“Saya nak tanya pada menteri yang bertanggungjawab, saya tak tahu siapalah yang bertanggungjawab. Dia pun tidak ada, Tuan Yang di-Pertua ini memang masalah besar, takkan cakap hari-hari dekat kerusi, betul tak?

“Tapi tidak apalah agaknya sibuk. Tuan Yang di-Pertua sebelum saya duduk, janganlah kita bercakap tentang rancangan Malaysia ke-12, tetapi kita lupa pada rakyat yang memerlukan kerajaan menggunakan ahli-ahli Parlimen. Kita tegur bukan kerana kita marah dan benci kepada kerajaan, tetapi kita mahu letakkan kelebihan kita kepada rakyat yang menjadikan kita wakil mereka dalam Dewan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN