KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini bersetuju untuk mencadangkan supaya waktu opetasi restoran, stesen minyak dan kedai runcit bermula dari jam 6 pagi hingga 12 malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan berkenaan akan diangkat kepada Jawatankuasa Khas Pemulihan Cobid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini setuju untuk mencadangkan untuk memanjangkan waktu operasi restoran, stesen minyak dan kedai runcit bermula dari jam 6 pagi hingga 12 malam kecuali kawasan PKPD,” katanya ketika sidang media hari ini.
Hishammuddin berkata, keputusan mengenai cadangan tersebut akan diputuskan esok.
“Penting untuk saya menjelaskan fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat. Matlamat utama kita ialah #ReopeningSafely,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat dalam keadaan menuju ke fasa endamik.
“Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP-SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus Covid-19.
Hadir sama dalam sidang media hari ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam cadangan tersebut, tumpuan turut diberikan kepada sektor pelancongan dan sektor sukan.
“Menteri Pelancongan telah membentangkan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi. Kita dimaklumkan setakat ini ia berjalan lancar seperti yang telah dirancang.
“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain. Menteri-Menteri Kuartet telah menetapkan tempoh 2 minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid- 19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Menteri Belia dan Sukan pula telah membentangkan mengenai pembukaan gimnasium dan boling yang telah pun diumumkan minggu lepas. Penting untuk dijelaskan, kerajaan benarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup (indoor) adalah dengan mengambil kira tonggak ketiga iaitu kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri,” katanya. – UTUSAN