GEORGETOWN: Pulau Pinang mahu Kerajaan Pusat memberi penjelasan mengenai status projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) memandangkan projek itu berkait secara langsung dengan projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan projek pembesaran LTAPP yang diluluskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ditangguhkan apabila Kerajaan Pusat baharu ditubuhkan awal tahun lepas.
Kata Zairil (DAP-Tanjong Bungah), antara alasan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong adalah semua projek lapangan terbang di Malaysia ditangguh secara menyeluruh sehingga hasil kajian Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan.
“Kerajaan Pusat perlu memberi penjelasan sama ada projek KXP ini telah dipersetujui oleh mereka walaupun kajian NASP belum selesai.
“Sekiranya tidak dipersetujui, Kerajaan Pusat perlu menjelaskan sama ada projek KXP ini akan dibenarkan untuk diteruskan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Zairil, projek pembesaran LTAPP sangat diperlukan kerana perangkaan menunjukkan kapasiti lapangan terbang itu sudah lama melebihi kapasiti.
“Pada tahun 2019, jumlah penumpang mencecah 8.3 juta orang walaupun kapasiti LTAPP hanyalah 6.5 juta.
“LTAPP adalah lapangan terbang yang kritikal penggunaannya bagi wilayah utara dan kita harap isu pembesarannya jangan dipolitikkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri tetap berpendirian cadangan pembinaan KXP perlu diteliti secara mendalam dan lebih terperinci dan dinyatakan secara konsisten kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
“Melalui mesyuarat dengan MPFN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga membangkitkan terdapat sebatang sungai di pertengahan tapak cadangan KXP dan pelaksanaan pengalihan aliran bagi Sungai Jerung adalah tidak digalakkan,” katanya.
Zairil menambah, JPS juga turut memaklumkan kualiti air Sungai Muda yang berdekatan dengan cadangan tapak KXP tersebut perlu dipelihara memandangkan sungai tersebut merupakan sumber air bersih bagi Pulau Pinang dan Kedah. – UTUSAN ONLINE