SHAH ALAM: Sehingga kini, sekurang-kurangnya 7,932,017 dos vaksin telah disuntik di negeri ini menjadikan negeri itu menghampiri kadar imuniti kelompok 80 peratus daripada penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Hal itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, apabila jumlah suntikan dibuat itu mampu melindungi 3,813,016 penduduk negeri ini dengan dua dos vaksin, manakala sekumpulan lagi warga negeri ini dalam proses untuk menerima dos yang kedua.
“Oleh yang demikian, kita melihat beberapa kelonggaran diberikan yang mengalihkan negeri Selangor ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara(PPN).
“Dalam fasa ini, warga Selangor yang telah menerima dua dos vaksin dapat merentas daerah, menjamu selera di kedai makan serta mengunjungi taman awam dengan syarat Tatacara Pengendalian Piawai dipatuhi,” katanya dalam Perutusan Hari Malaysia ke-58 hari ini.
Amirudin berkata, beliau percaya sedikit kelonggaran ini akan dapat memberi nafas lega kepada penduduk Selangor yang terpaksa duduk di rumah sejak bulan Mei tahun ini.
Keadaan ini katanya, sudah pasti akan menggembirakan ramai pihak serta memberi mereka ruang untuk mendalami makna dan kepentingan Hari Malaysia 2021.
Mengulas mengenai Hari Malaysia, beliau melihat situasi negara pada masa kini hampir sama dengan prinsip yang mendorong perubahan pada tahun 1963.
“Pada ketika itu, semangat nasionalisme yang membara serta pengertian tentang pentingnya Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura berganding bahu membentuk negara Malaysia untuk sama-sama menjaga kepentingan masyarakat yang dinamik amat ketara,” katanya.
Amirudin berkata, setelah dibelenggu insiden hitam Februari 2020 (Langkah Sheraton) yang diaturkan beberapa pihak untuk kepentingan tertentu, kompas politik hari ini dapat mula kembali ke agenda pembinaan negara ataupun ‘nation building’ bagi kepentingan rakyat.
Katanya, permuafakatan yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, terutama dari beberapa aspek transformasi yang mengangkat semula martabat Parlimen sebagai medan utama 222 orang yang mewakili rakyat seluruh negara dapat direalisasikan.
“Jika dahulunya Parlimen seolah-olah di bawah telunjuk Sang Penguasa berorientasikan ‘zero-sum game’ yang hanya menguntungkan si pemenang, kini Parlimen Malaysia boleh berfungsi dengan lebih berkesan dan berwibawa sekaligus mengakhiri dominasi satu pihak dan digantikan kerjasama dan kolaborasi pelbagai koalisi dan parti.
“Ini merupakan iktibar yang harus diambil oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini yang bertindak menganiaya dan membuli pembangkang,” katanya.
Namun begitu ujarnya lagi, permuafakatan yang terhasil bukan suatu gencatan politik dan tidak wajar dilihat begitu.
Fungsi dan peranan blok pembangkang jelasnya, akan ditambah bukan sahaja melalui aspek semak dan imbang ataupun ‘check and balance’ tetapi menganggotai proses transformasi sistem supaya aspek-aspek asas kepentingan rakyat dijamin. – UTUSAN