PUTRAJAYA: Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 108 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 110 kes sebelum ia berubah kepada 129 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my.
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan sedikit, sebanyak 301 kes berbanding kelmarin, 376 kes, sekali gus menjadikan keseluruhan kes kematian terkini sebanyak 23,744 kes.
Sebanyak 92 daripada 301 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes BID sebanyak 4,564 kes.
Seramai 1,154 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 633 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala pesakit yang perlu ditempatkan di wad adalah seramai 11,321 orang.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Selangor mencatatkan kematian dilaporkan 130 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 10 kes diikuti Johor (52/30), Kelantan (23/6), Pulau Pinang (22/17), Sabah (19/12), Perak (15/6), Kuala Lumpur (13/3), Sarawak (8/6), Kedah (6/9), Pahang (4/4), Terengganu (4/2), Melaka (3/2), Negeri Sembilan (1/1) dan Perlis (1/1).
Bagaimana, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu.
Utusan Online semalam melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 14,345 kes berbanding kelmarin, 14,954 kes sekali gus diatasi 16, 814 kes sembuh.
“Tempat kerja terus menjadi penyumbang tertinggi iaitu 13 daripada 23 kluster Covid-19, dengan Johor menjadi penyumbang terbanyak, lima kluster.
“Selain tempat kerja, komuniti mencatatkan lapan kluster manakala kumpulan berisiko tinggi dan import, masing-masing satu kluster,” katanya. – UTUSAN