Selam skuba, snorkeling antara dibenar di Langkawi  - Utusan Malaysia

Selam skuba, snorkeling antara dibenar di Langkawi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aktiviti pantai, sukan air, selam skuba dan snorkeling di Pulau Langkawi, Kedah antara yang diberi kebenaran kelak selepas destinasi itu dipilih sebagai projek rintis program gelembung pelancongan bermula 16 September ini. 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan memaklumkan, kebenaran terhadap aktiviti-aktiviti utama yang menjadi tarikan pengunjung itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa. 

Kementerian itu berkata, aktiviti lain yang akan dibenarkan adalah pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, taman negara, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial. 

Katanya, turut akan dibenarkan ialah penginapan di hotel dan inap desa termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan inap desa, acara mesyuarat, insentif, konvensyen dan persidangan (MICE) serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan lain. 

“Selain itu ialah aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal, berkayak dan sebagainya. 

“Juga akan dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki gunung, kembara gua dan banyak lagi,” katanya di sini hari ini. 

Kementerian itu berkata, aktiviti melibatkan premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya dan pementasan persembahan budaya juga akan dibenarkan. 

“Di samping itu ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik,” katanya.

Pada masa sama, pihak kementerian sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik buat seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak. 

Katanya, hasil perkembangan projek rintis gelembung pelancongan domestik serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard norma baharu di Langkawi akan dijadikan kayu ukur sebagai persediaan rapi bagi pembukaan pulau-pulau peranginan lain secara berperingkat. 

“Ini termasuk Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Rawa, Pulau Perhentian, Pulau Sipadan sebelum diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan utama lain seperti Bukit Fraser, Desaru, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah,” katanya. 

Pihak kementerian itu sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN