DUNGUN: Ibu kepada pemuda berusia 21 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Dungun di Kampung Tok Kah di sini, semalam mahu terus menunggu di lokasi kejadian hingga anak bongsunya itu ditemukan.
Senah Ismail, 62, berkata, sejak petang semalam dia dan keluarga tidak berganjak dari tepi sungai kerana rungsing memikirkan keadaan Ahmad Firdaus Afiq Che Yusof yang masih hilang hingga kini.
Katanya, sepanjang 21 tahun melahirkan dan membesarkan mangsa, mereka tidak pernah berenggang, malah anaknya itu masih tinggal bersamanya walaupun sudah berkahwin dengan Siti Fatimah Sulaiman, 22, kira-kira sembilan bulan lalu.
“Saya berharap sangat dapat berjumpanya dan jika ditakdirkan dia sudah tiada, sekurang-kurangnya saya mahu melihat jasadnya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan hanyut dibawa arus deras, namun Mohd. Zulfadzli Mohd. Asmadi, 21, berjaya diselamatkan orang kampung yang turut berkelah di sungai berkenaan.
Senah berkata, sebelum kejadian Ahmad Firdaus Afiq sempat memberitahu mahu ke sungai bersama kawan dan terkejut apabila menerima panggilan yang anaknya hilang ketika melakukan aktiviti mandi-manda.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, operasi SAR kini diperluaskan hingga ke Kuala Dungun dengan pencarian di permukaan air di samping selaman oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan khidmat dua anjing pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, keadaan air sungai yang keruh dan arus laju pada kedalaman hingga lima meter menyukarkan jarak penglihatan penyelam.