ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mungkin membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.
Beliau bersedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung perkara itu yang didakwa berlaku oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya, isu tersebut telah diketahui umum setelah dilaporkan media dan beliau akan patuh terhadap apa jua kehendak pihak berkuasa mengenainya.
“Saya tak suka cakap pasal buruk orang, mungkin kesalahan lampau tak patut diungkit lagi. Tetapi kalau ada kesalahan mana-mana akta, pihak berkuasa bolehlah datang (siasat).
“Kalau berlaku kesalahan dalam isu ini dan saya melindunginya, maka saya pun bersalah juga. Rasanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun dah dengar dan baca akhbar mengenainya, maka saya akan ikut apa yang mereka kehendaki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi ketika mendedahkan perkara itu mendakwa, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun yang berpangkalan ke Kanada.
Menurutnya, slip bank transaksi pemindahan wang tersebut masih disimpannya sehingga kini.
Ditanya mengenai pemilik akaun bank dimaksudkannya, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak sesuai didedahkan sekarang kerana kes itu mungkin akan disiasat pihak berkuasa selepas ini.
“Cuma saya bolehkan dedahkan nama banknya saja iaitu Barclays Bank,” katanya.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, secara peribadi beliau merasakan Mukhriz yang juga Pengerusi MBI pada masa itu, mungkin tidak mengetahui transaksi yang berlaku itu.
“Saya rasa Mukhriz tak tahu tetapi dibuat oleh ‘punah sihat’- ‘punah sihat’ beliau. Kesianlah padanya dan saya pun tak kata beliau yang lakukan transaksi itu.
“Secara peribadi saya rasa beliau tak tahu. Kalau tidak beliau tak akan terkejut dan nampaknya beliau terkejut apabila perkara ini didedahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE