PETALING JAYA: Polis akan mengedarkan lakaran wajah suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching dekat sini pada 26 Ogos lalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) paling hampir dengan lokasi kejadian berkenaan.
“Bagaimanapun keadaan gelap menyukarkan kami untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat dalam kes itu.
“Kita juga telah mengambil keterangan mangsa dan mendapatkan lakaran wajah suspek,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sepasang kekasih menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian 12.15 tengah malam.
Eng Lai berkata, ketika kejadian, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu sebelum menarik tangan mangsa.
“Suspek kemudian melibas mangga rantai motosikal pada bahagian belakang topi keledar dipakai mangsa.
“Mangsa kemudian membuat pusingan dari Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, namun sekali lagi dihimpit motosikal sama dan suspek menendang motosikalnya sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum motosikal turut dilarikan suspek,” katanya
Kejadian itu turut menyebabkan tangan seorang daripada mangsa iaitu Siti Nur Azizah Syafriadi terpaksa dipotong sebelah tangan akibat kecederaan dilaporkan. – UTUSAN