PUTRAJAYA: Sejumlah 180,000 vaksin dos tunggal CanSino dihantar ke Sabah secara berperingkat bermula 28 Ogos lalu hingga 6 September ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga hari ini, sebanyak 44,000 dos vaksin berkenaan diterima negeri terbabit.
“Proses pemberian vaksin mula dilakukan pada 29 hingga 30 Ogos di Pulau Sebatik sebanyak 2,400 dos, manakala di bahagian pedalaman Kinabatangan pula melibatkan 1,200 dos dan pengagihannya masih berjalan di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy berkata, pengagihan vaksin itu diteruskan hari ini ke Nabawan melibatkan 500 dos dan di Pulau Mabul berjumlah 2,000 dos.
“Aktiviti pemberian vaksin CanSino kepada penduduk di Pulau Mabul dijalankan sdua hari iaitu sebanyak 1,000 dos hari ini dan 1,000 dos lagi esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE