KOTA KINABALU: Pergerakan rentas daerah di Sabah akan beralih kepada sistem zon bermula 1 Oktober ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peralihan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat vaksinasi setiap daerah dalam setiap zon yang mencapai 60 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksin.
Bagi daerah-daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin, dengan sendirinya daerah itu terkeluar daripada zon berkenaan sehingga daerah tersebut mencapai nilai ambang 60 peratus kadar vaksinasi lengkap.
“Ini bermakna mana-mana daerah yang belum melepasi syarat ini kekal dengan status sekarang iaitu tidak dibenarkan merentas daerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengikut sistem zon, daerah-daerah di Sabah dibahagikan kepada enam zon.
Dalam pada itu, Masidi berkata, hari ini Sabah mencatatkan 965 kes positif Covid-19 berbanding 751 kes semalam dan tiada kluster baharu dilaporkan.
Jelas beliau, sehingga kini, kes harian Covid-19 tertinggi yang pernah direkodkan di Sabah adalah sebanyak 3,487 kes yang dicatatkan pada 26 Ogos lalu.
Berdasarkan data bagi tempoh 30 hari lalu, kes positif Covid-19 di Sabah memperlihatkan trend penurunan walaupun rekod harian tidak statik.
“Sukar untuk menjangka atau meramal sama ada pada hari berikutnya akan berlaku peningkatan atau penurunan kes. Ini kerana pembolehubah terbesar yang mempengaruhi jumlah kes harian bergantung kepada pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan,” katanya.
Masidi berkata, berdasarkan ramalan awal, kes di Sabah berkemungkinan akan naik semula apabila keputusan saringan terhadap kontak rapat yang bergejala diketahui. Ini susulan kes-kes bergejala atau kes sporadik yang berlaku akibat kegagalan mematuhi SOP.-UTUSAN ONLINE