KUANTAN: Seorang penjaga stor ditahan polis dalam serbuan di dua buah rumah menyimpan 6,200 karton rokok jenama Lee dipercayai diseludup bernilai kira-kira RM300,000 di Gambang di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai itu dikesan hasil daripada maklumat orang awam.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sebuah rumah di Gambang Jaya, dekat sini dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun berasal dari Perak.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah laptop jenama Lenovo, satu passport Malaysia dan sebuah beg hitam berisi wang tunai berjumlah RM24,000.
“Polis juga menemukan tiga kotak mengandungi 150 karton rokok jenama Lee dipercayai diseludup yang disimpan dalam bonet kereta di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Stor Barang Kes Berpusat Polid Diraja Malaysia (PDRM) di Indera Mahkota, di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, rentetan daripada itu polis dibawa oleh suspek ke sebuah lagi rumah di Gambang Makmur, di sini yang merupakan stor penyimpanan rokok seludup berkenaan dan menemukan 121 kotak berisi 6,050 karton rokok jenama sama.
“Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan baharu sebulan bekerja dengan seorang lelaki berasal dari Johor yang menjadikannya sebagai penjaga stor rokok seludup itu.
“Suspek ditugaskan mengeluarkan stok rokok kepada pengedar atau ejen yang datang untuk mendapatkan bekalan jualan.
“Kesemua bekalan rokok yang dirampas itu disyaki masih baru untuk pasaran daerah ini dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memburu dalang utama sindiket penyeludupan rokok terbabit,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan sehingga 10 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. – UTUSAN