PUTRAJAYA: Dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sudah hampir siap 100 peratus dan dijangka dibentangkan pada 27 September ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau dan pasukannya telah pun bertungkus-lumus untuk menyiapkan dokumen itu ketika memegang portfolio sama di bawah kerajaan terdahulu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, perkara itu antara keutamaaan tertinggi dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini iaitu sebahagian pencapaian utama 100 hari yang ditetapkan Perdana Menteri kepada barisan Kabinet.
“Selain itu dalam tempoh 100 hari ini kita akan memuktamadkan perbelanjaan pembangunan 2022 bersama Kementerian Kewangan yang perlu dimuktamadkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memberikan input secepat mungkin bagi Belanjawan 2022,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir melapor diri di Jabatan Perdana Menteri dan mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi menerajui semula unit berkenaan.
Mustapa berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, EPU dan agensi-agensi berkaitannya akan menangani isu-isu utama termasuklah merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri yang mana enam negeri dikenal pasti sebagai negeri terkebelakang seperti Sabah dan Sarawak.
Katanya, selain itu, pihaknya turut merancang untuk merapatkan jurang pendapatan antara golongan miskin dan kaya khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 kerana ia telah memberi impak meluas kepada semua golongan bukan sahaja B40, malah golongan M40 dan T20 turut terkena tempias.
“Kita juga akan menangani isu-isu dan masalah keperluan asas yang harus dinikmati rakyat. Kita sering mendengar masalah mengenai bekalan air, elektrik dan infrastruktur digital yang juga merupakan keperluan asas.
“Ini juga antara tumpuan EPU dalam tempoh lima tahun akan datang terutama melibatkan rakyat di pedalaman dan masyarakat orang asli,” katanya.