BALIK PULAU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dijangka memperuntukkan sehingga RM259.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh Pulau Pinang.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, sebanyak tujuh projek pembangunan melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta satu projek baharu dirancang di negeri itu dengan kesemua projek dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun lagi.
“Antara projek tersebut ialah RTB Lembangan Sungai Pinang di daerah Timur Laut yang merupakan projek terbesar di Pulau Pinang dan melibatkan kos RM150 juta.
“Pada masa ini, proses reka bentuk telah disiapkan dan tender dibuka awal tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau RTB Pondok Upeh, Sungai Burung, di sini hari ini.
Menurut Mansor, selain RTB di daerah Timur Laut, kementerian itu turut melaksanakan dua projek pembangunan di daerah Barat Daya yang diluluskan di bawah Projek Sambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Projek berkenaan ialah RTB Teluk Kumbar yang bernilai RM10 juta dan mula dilaksanakan pada 2019 serta dijangka siap sepenuhnya pada 8 Oktober ini.
“Satu lagi projek ialah RTB Pondok Upeh, Sungai Burong juga melibatkan kos RM10 juta dan pada masa ini dalam peringkat reka bentuk oleh perunding dan dijangka dilaksanakan pada 2022,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan kedua-dua projek RTB di daerah Barat Daya itu akan memberi manfaat kepada lebih 80,000 penduduk di kawasan berisiko banjir.
“Projek RTB ini juga dapat mengurangkan keluasan kawasan bencana banjir secara maksimum dan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan juga dikurangkan sehingga 80 peratus.
“Kerosakan harta benda kerajaan dan persendirian akibat banjir dapat diselamatkan dengan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mansor berkata, KASA turut melaksanakan projek-projek RTB di daerah lain seperti projek RTB Sungai Kechil (Seberang Perai Selatan), RTB Sungai Dua Besar (Timur Laut), RTB Taman Siakap (Seberang Perai Selatan) dan lain-lain bagi mengurangkan impak banjir kepada penduduk terlibat. – UTUSAN ONLINE